Pengikut

Selasa, 8 Februari 2011

Umno Rasis: Kenyataan Mallot Bersandar Realiti- Yusmadi



SHAH ALAM 8 FEB : Artikel bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia John Mallot yang bimbang dengan corak pentadbiran rasis Umno yang bertentangan dengan slogan 1 Malaysia menggambarkan realiti negara ini, kata peguam Yusmadi Yusof.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa PKR menganggap Mallot, sebagai bekas duta besar mempunyai legitimasi memberi pandangan tentang keadaan politik dan masa depan ekonomi negara ini.

"Secara realitinya masyarakat berbilang bangsa masih lagi terasa tidak diberi layanan sewajarnya dan ini menempelak agenda 1 Malaysia yang mengatakan masyarakat pelbagai bangsa perlu bersama. 1 Malaysia tidak menjadi kekangan kepada pembangkang sebaliknya jadi kekangan kepada Umno sendiri yang perlu memahami maksud sebenar 1 Malaysia," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Dalam article bertajuk 'The Price of Malaysia's Racism (Harga Perkauman di Malaysia) yang diterbitkan di portal ekonomi berpengaruh dunia, Wall Street Journal, (online.wsj.com) Mallot yang memegang jawatan duta ke Malaysia dari tahun 1995 hingga 1998 menempelak ideal 1 Malaysia yang nyata bertentangan dengan tindakan pemimpin politik Umno.

Mallot memberi contoh kes lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke rumah terbuka Ketua Paderi Katolik tahun lalu di mana pembantu Najib meminta semua simbol Kristian diturunkan supaya tidak menyinggung Najib, serta kes di mana Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan di Parlimen bahawa kaum bukan Melayu mempunyai semangat patriotik yang rendah.

Hal ini, menurut Mallot, menjadikan kaum bukan Melayu berasa terabai dan seolah tiada suara dalam kerajaan mereka sendiri.

Lebih parah lagi, Mallot menyatakan kegagalan Najib melakukan pembaharuan ekonomi yang 'mesra pasaran, berdasarkan merit dan keperluan kerana tentangan NGO seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan memburukkan lagi keadaan.

Yusmadi bersetuju hal ini dan menyatakan persamaan idealis antara Umno dan Perkasa itu sendiri.

"Aspirasi Perkasa masih terperangkap dengan aspirasi perkauman yang mana peratusan itu ialah menifestasi sikap angkuh Perkasa.

"Warna sebenar politik wajib dan Umno ialah warna Perkasa, sekiranya Perkasa masih dengan retorik tersebut maka agenda 1 Malaysia ini terus jadi retorik bukan realiti," katanya.

Mallot turut menganggap Najib sebagai Perdana Menteri memerlukan sokongan kaum Melayu hanya membiarkan retorik perkauman berleluasa di negara ini dan memberi amaran, pelabur akan 'angkat kaki' sekiranya rakyat tidak menggunakan kuasa mereka dalam pilihan raya.

Sentimen sama dilahirkan oleh Yusmadi, yang mahu rakyat sedar akan maruah negara yang makin tercalar sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Najib sendiri masih bergelut dengan pelbagai masalah yang perlu diselesaikan, jadi beliau perlu Umno untuk dokongan terutama bila banyak parti komponen lain hilang kepercayaan.

"Rakyat perlu bertindak kerana negara ini potensi lebih baik, tapi kini prestasi hambar jadikan rakyat terbeban. Saya rasa rakyat perlu bangun, bukan untuk kepentingan politik tapi untuk maruah negara," katanya.

Tiada ulasan: