Pengikut

Selasa, 8 Februari 2011

Amaran Anwar: Wakil rakyat PKR perlu tingkat prestasi menjelang PRU-13

SHAH ALAM, 8 Feb — Di sebalik siri tamparan terbaru ekoran pemimpin keluar parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada wakil rakyat partinya supaya meningkatkan prestasi mereka jika mahu bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.


Ketua Umum PKR itu mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari Selangor di sini semalam untuk berkongsi perkembangan semasa mengenai kempen mereka menghadapi pilihan raya negeri, krisis di peringkat Sabah dan juga pendekatan memperkuatkan parti itu.

“Kami telah diminta mempertingkatkan langkah ofensif. Kerja-kerja merancang aktiviti akan digodakkan termasuk fokus ke atas pilihan raya negeri Sarawak... usaha-usaha sepadu sedang dijalankan,” kata seorang wakil rakyat yang menghadiri pertemuan itu.

Difahamkan Anwar (gambar) memberi amaran hanya pemimpin-pemimpin yang memperlihatkan rekod khidmat baik sahaja akan dipilih semula sebagai calon pilihan raya umum.

Komponen Pakatan Rakyat (PR) ini berhadapan dengan siri wakil rakyat, di kedua-dua peringkat negeri dan Parlimen, keluar parti untuk bertindak sebagai Bebas ataupun menyertai Umno.

Pemimpin terbaru bertindak keluar ialah ketua PKR Sabah Pajudin Nordin dan Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan.

November lalu, Datuk Zaid Ibrahim keluar PKR dan kemudian mengepalai parti Kita.

Pada pertemuan semalam, Anwar juga menggariskan keperluan untuk memfokus pilihan raya negeri Sarawak.

Beliau berada di negeri itu selama dua hari hujung minggu lalu untuk menyusun strategi bersama ketuanya Baru Bian, di mana secara kebetulan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berada di negeri itu untuk mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat dan menghadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat nasional di Miri.

Kedua-dua PR dan Barisan Nasional (BN) bekerja keras untuk memenangi sebanyak kerusi yang boleh pada pilihan raya kecil di Sarawak.

Bagaimanapun PR memberi fokus ke atas kerusi-kerusi majoriti Cina di kawasan bandar selain memperluaskan pengaruhnya di kawasan pedalaman.

“Parti memulakan langkah persiapan ke arah kempen intensif selama dua bulan di Sarawak di bawah kepimpinnan Baru Bian, jadi kami menyusun strategi dan program yang lebih tersusun,” katanya.

Difahamkan pemimpin-pemimpin parti akan mengadakan lebih banyak kunjungan ke Sarawak sepanjang dua bulan akan datang untuk memperkukuhkan jentera kempennya.

The Malaysian Insider difahamkan kesemua pemimpin parti akan diberi ruang tugas yang khusus di negeri masing-masing dalam usaha menyusun semula fokus parti.

Tetapi Anwar juga bercakap mengenai keperluan mempertahankan kedudukan PKR di Selangor — negeri paling maju dan kaya yang dimemenangi PKR pada 2008.

“Kami juga membincangkan dengan panjang lebar kepentingan mempertahankan Selangor dan soal menurunkan calon bergantung pada prestasi semasa mereka,” kata seorang ahli Parlimen PKR.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang turut menghadiri pertemuan itu mengakui bahawa tindakan keluar parti beberapa pemimpin telah menjejaskan fokus dalam melakukan pembaharuan dasar.

“Pembaharuan dasar yang perlu kami fokus, tindakan keluar parti telah menjejaskan fokus kami. Itu tujuan pertemuan hari ini, untuk menyusun semula strategi dan fokus,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Justeru katanya, langkah penubuhan majlis presiden di Sabah adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut di negeri itu.

Majlis itu diketuai oleh presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang diumumkan sehari selepas Pajudin keluar parti dan menyetai Umno.

Tiada ulasan: