SHAH ALAM 15 JAN : Keghairahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berselindung di sebalik media arus perdana dan kuasa majoriti pemerintah di Parlimen hanya melemahkan keupayaan kerajaan menggarap keperluan rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kongkongan ke atas media dan perbahasan terbuka di Parlimen digunakan sebagai senjata untuk menutup kelemahan dasar-dasar dan penyelewengan wang rakyat.
"Ini bukan kerana rakyat tidak matang, bukan kerana perlembagaan tidak jelas. Pimpinan Umno merasa tertekan kepada pandangan alternatif kerana mereka tidak mampu menjawab secara baik, secara sopan di Parlimen di media, jadi mereka menggunakan senjata kasar," katanya.
Anwar bersama tiga ahli parlimen Pakatan Rakyat kini menjalani hukuman gantung dari Parlimen selama enam bulan bermula 16 Disember 2010.
Umno-BN menggunakan kuasa majoritinya di Parlimen untuk mengenakan hukuman itu tanpa memberi peluang kepada Anwar, Azmin Ali, Karpal Singh dan Sivarasa Rasiah peluang untuk membela diri.
Mereka digantung berhubung pendedahan yang mengaitkan Umno-BN dan firma pro-Zionis Apco Worldwide.
Mengulas lanjut, Anwar berpendapat tindakan-tindakan zalim yang digunakan untuk menutup suara pembangkang mirip taktik pemerintah yang kuku besi di negara-negara dunia ketiga dan keempat.
"Orang-orang kejam memang mengerti, bahasa dia ialah kekerasan. Sebab itu bila kita lihat mantan Perdana Menteri dahulu, dia sungguh obses untuk menentang bila sebut aja nama dia, atau syarikat araknya di luar negara, dia jadi fobia, dia ketakutan," katanya.
Datuk Seri Anwar turut kesal dengan kecenderungan Umno kebelakangan ini untuk mengheret istana dalam pertikaian politik semata-mata untuk membakar sentimen orang Melayu.
"Kebimbangan banyak pihak apabila Istana kadang-kadang diheret ke kancah politik kepartian. Istana itu sekadar memberikan ruang supaya boleh ada perbahasan. Pernah saya sampaikan kepada PM, saudara adalah Perdana Menteri, saya adalah Ketua Pembangkang, Hadi adalah Presiden PAS dan Lim Kit Siang adalah Ketua Ahli Parlimen DAP, mengapa takut untuk berbincang secara terbuka? tertutup pun tidak apa, biar khalayak tahu," katanya.
Datuk Seri Anwar juga berkata beliau melihat secara positif inisiatif tertentu yang diambil oleh pihak Istana sendiri dalam cubaan untuk serasikan perbezaan pendapat yang melangkaui politik kepartian. Istana Negara bulan lalu menganjurkan majlis santapan yang dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Umno dan PAS.
"Ada gambaran positif, istana terpaksa bawa begitu, kerana pimpinan Umno tidak berupaya untuk mengundang dan berbincang secara terbuka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan