Pengikut

Jumaat, 23 Mac 2012

PKR persoal jaminan Menteri Kesihatan mengenai penerangan 1Care

PETALING JAYA: PKR mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan, Datuk Ser Dr Liow Tiong Lai untuk mengadakan majlis penerangan mengenai skim 1Care.

Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, beliau mempersoalkannya berdasarkan rekod Dr Liow dalam isu Lynas.

“Kami juga menerima aduan daripada doktor-doktor yang terlibat di dalam perbincangan mengenai 1Care sebelum ini bahawa tiada proses rundingan dan dialog sebenar. Kerajaan nampaknya akan meneruskan 1Care,” kata Presiden PKR itu dalam kenyataan media hari ini.

Menteri Kesihatan itu, kata Dr Wan Azizah berjanji melancarkan satu sesi penerangan seluruh negara bagi menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat tentang 1Care.

Dr Liow dilaporkan sebagai berkata, bahawa rancangan sistem kesihatan 1Care hanya akan siap dalam masa dua tahun.

Dr Wan Azizah berkata, amat mengejutkan Menteri Kesihatan hanya bercakap tentang menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat sekarang, selepas 1Care mendapat tentangan daripada rakyat.

“Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA (Saraan Baru Penjawat Awam), proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat,” tambah beliau.

20 hingga 40 peratus pembaziran

Bagimanapun Presiden PKR itu berharap Menteri Kesihatan akan member respons terhadap cadangan bagi langkah-langkah segera bagi menambahbaik sistem kesihatan negara.

Katanya, perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada KDNK pada 2008 adalah lebih rendah daripada cadangan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebanyak 5 hingga 6 peratus.

Menurutnya, WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

“Justeru memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan ini hanya akan membuka ruang untuk meningkatkan rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara.

“Coraknya sama seperti penswastaan pelbagai sektor sistem kesihatan negara sepanjang dua dekad ini yang sepatutnya meningkatkan kecekapan tetapi sebaliknya hanya meningkatkan ketirisan.

“Ini termasuklah penswastaan stor perubatan kerajaan, hospital-hospital universiti, jabatan kardiologi dan perkhidmatan sokongan hospital yang telah membawa peningkatan kos yang tinggi tanpa meningkatkan kecekapan,” kata Dr Wan Azizah.

-FMT

Tiada ulasan: