Pengikut

Isnin, 12 Mac 2012

Letak jawatan 8 April: Shahrizat menipu rakyat?

KUALA LUMPUR 12 Mac: KEADILAN berpendapat pengumuman Datuk Seri Shahrizat Jalil untuk berundur sebagai menteri wanita, keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini, sebagai satu percubaan untuk menipu rakyat.

Ini kerana, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran, Shahrizat akan tamat tempoh jawatannya sebagai menteri, berkuat kuasa pada tarikh tersebut dan bukannya meletakkan jawatan.

“Pengumuman ini adalah jelas cubaan untuk menipu rakyat supaya memikirkan bahawa perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN mengambil tindakan berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan supaya Shahrizat bertanggungjawab terhadap tindakannya,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Dalam kenyatannya semalam, Surendran berkata, menurut Artikel 43 perlembagaan persekutuan, menteri dilantik di kalangan anggota Dewan Rakyat atau dewan negara.

“Tempoh Shahrizat sebagai senator tamat pada 8 April, jawatan beliau sebagai menteri mesti tamat berdasarkan Artikel 43.

“Bagaimana Shahrizat boleh mendakwa berundur pada 8 April? Beliau sebenarnya berpaut pada kedudukan menteri sehingga ke saat akhir,” kata beliau.

Menurutnya, lagi, Shahrizat sepatutnya meletakkan jawatan sejak lama apabila skandal NFC didedahkan.

“Najib dan Shahrizat telah mengabaikan sepenuhnya prinsip tanggungjawab menteri dan pertanggungjawaban yang mana satu aspek genting dalam sistem kerajaan berparlimen.

“Sekali lagi, Umno BN telah mengabaikan amalan demokratik dan prinsip-prinsip pentadbiran baik,” katanya. -KD

Tiada ulasan: