Pengikut

Rabu, 4 Januari 2012

Kementerian Kewangan perlu beku akaun NFC

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa Kementerian Kewangan membekukan segera aset dan akaun bank National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan untuk mengelak pengurusan syarikat itu menggunakan dana yang diperolehnya untuk merasuah dan mempengaruhi siasatan ke atas mereka.

“Polis mungkin mengambil sedikit masa untuk menjalankan siasatan jadi sepatutnya buat masa sekarang Kementerian Kewangan perlu ambil tindakan bekukan perbelanjaan, aset dan akaun bank NFC,” kata Rafizi.

Menurutnya, jika tindakan itu dilakukan sejak awal kes itu didedahkan, Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail tidak mungkin dapat menggunakan wang sebanyak RM1.755 juta untuk merasuah polis dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau membuat gesaan itu sewaktu hadir untuk menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan RM250 juta oleh NFC kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (CCID) PDRM di Bukit Perdana petang tadi

Menurut Rafizi, antara dokumen yang akan diserahkan kepada polis adalah buku aliran tunai NFC yang memperincikan penyelewengan seperti pembelian kondominium mewah One Menerung di Bangsar dan di Singapura.

Menurutnya lagi, buku aliran tunai itu mengandungi kira-kira 1,099 urusniaga NFC dan KEADILAN berjaya membongkar siri-siri penyelewengan sebelum ini dengan hanya meneliti kira-kira lima dan enam urusniaga yang meragukan.

“Kalau berdasarkan dokumen yang saya serahkan, polis sepatutnya sudah boleh menyiasat perkara ini sehingga ke akar umbi,” kata Rafizi menggesa polis meneliti baki urusniaga lain yang terdapat dalam dokumen itu.

Jaminan keselamatan pemberi maklumat

Bercakap lanjut, Rafizi berkata dokumen itu diperolehi dari pemberi maklumat yang mengirimkannya melalui emel.

Beliau juga berkata tidak tertakluk kepada undang-undang untuk mendedahkan identiti pemberi maklumat itu.

Namun, beliau percaya individu berkenaan berani tampil ke hadapan jika ada jaminan perlindungan keselamatan dari polis.

Selain itu, dokumen lain yang diserahkan adalah dokumen yang memang boleh diperolehi daripada carian umum seperti daftar syarikat.

Rafizi dalam pendedahan susulan terbaru isu NFC pagi tadi mendakwa Mohamad Salleh cuba merasuah pengawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Cubaan itu dibuat Mohamad Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, melalui Datuk Shamsubahrin Ismail. Shamsubahrin kini didakwa atas tuduhan menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.755 juta -KD

Tiada ulasan: