Pengikut

Selasa, 24 Januari 2012

AMK gesa segerakan larangan Ibrahim Ali ke Selangor

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Kerajaan Negeri mempercepatkan tindakan menyekat kemasukan Presiden Perstuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali ke Negeri Selangor.

Ketuanya, Irwan Ismail berkata, tindakan itu perlu disegerakan agar beliau tidak berterusan mencampuri isu pengambilalihan portfolio Hal Ehwal Islam oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pelantikan Exco Kerajaan Negeri baru iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi.

“Siapa beliau untuk mempersoalkan pelantikan dan isu rombakan portfolio berkenaan, sedangkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin sudah memberikan perkenan dan lampu hijau. Mengapa beliau yang merupakan orang luar cuba mencampuri urusan Kerajaan Negeri Selangor?

“Perlu diingat bahawa Kerajaan Negeri Selangor diterajui Pakatan Rakyat (PR), jadi perubahan portfolio dan pelantikan ini dipersetujui semua pimpinan PR Negeri Selangor malah tiada wakil Pas Selangor yang mempertikaikannya,” katanya.

Irwan berkata, AMK meminta agar disegerakan larangan kemasukan Ibrahim ke Selangor kerana bimbang percubaan ‘menangguk di air keruh’ itu akan mewujudkan ketidakharmonian agama, sosial dan politik di negeri ini.

“Beliau orang luar, seharusnya tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri dan ekstrimis seperti beliau harus sedar bahawa zaman beliau sudah berakhir. Beliau perlu bersikap matang dalam isu ini.

“Beliau tidak perlu masuk ke negeri ini, jika sekadar untuk memporak-perandakan keamanan dan keharmonian rakyat Selangor,” katanya.

Bagaimanapun semalam, Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak kisah jika Kerajaan Negeri Selangor mahu menyamannya berhubung kenyataan mengecam Abdul Khalid yang kini memegang portfolio Hal Ehwal Islam minggu lalu. -SH

Tiada ulasan: