Pengikut

Sabtu, 31 Disember 2011

Naib Canselor jadi perkakas Umno halang mahasiswa sertai Bebaskan Anwar 901

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) membidas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menghalang pelajar universiti dari menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 (9 Januari).

“Datuk Sahol Hamid Abu Bakar perlu tumpu usaha ke arah memperkasakan kecemerlangan akademik UiTM dan bukannya menjadikan dirinya perkakas Umno.

“Jika Sahol mahu menasihati mahasiswa tidak jadi alat politik, beliau juga perlu berhenti dari jadi alat politik Umno. Jika beliau sendiri gagal, Sahol umpama ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan’,” kata Najwan Halimi – Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN itu pada kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Sahol memberi amaran kepada mahasiswa UiTM supaya tidak menyertai kempen Bebaskan Anwar 901 tetapi dilihat menyokong demonstrasi mahasiswa di Putrajaya yang kononnya menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Najwan berkata, kenyataan Sahol yang dimuat naik di twitternya cukup mengejutkan kerana secara terbuka menzahirkan kecenderungan politiknya terhadap Umno.

“Pada 11 Disember 2011, akaun twitter Sahol memapar kenyataan bertulis: UMNO dan UiTM Sentiasa di Hati,” katanya.

AMK difahamkan mahasiswa UiTM atas arahan Sahol dikerah ke Putrajaya bagi menyertai perhimpunan menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang didalangi mahasiswa Aspirasi pro-Umno.

Sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menghentikan tekanan terhadap mahasiswa dan menyifatkan Umno sebagai terdesak kerana takut dengan kelompok mahasiswa.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kebangkitan mahasiswa apabila mereka berdemonstrasi untuk menuntut kebebasan akademik. -KD

Tiada ulasan: