Pengikut

Selasa, 29 November 2011

PAB 2011 Undang-undang rimba, lebih teruk dari Burma - Anwar

KUALA LUMPUR 29 Nov: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Akta Perhimpunan Aman (PAB 2011) sekiranya diluluskan sebagai undang-undang rimba dan menjadikan ruang demokrasi di Malaysia lebih teruk dari Burma.

Katanya, kerajaan Burma sendiri berunding dengan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi sebelum meluluskan undang-undang yang membolehkan perhimpunan dibuat dengan notis lima hari.

“Malaysia lebih minat banding (demokrasi) dengan Burma, tapi hari ini Burma juga pinda undang-undang mereka dan diluluskan dan Myanmar juga terasa bahang perubahan rakyat yang mahu prionsip kebebasan dihormati.

“Jadi rang undang-undang Burma perlukan pihak yang anjurkan perhimpunan maklum lima hari sebelumnya. Jadi kita ketinggalan dengan Burma,” kata Anwar lagi.

Katanya, tindakan kerajaan meluluskan akta yang meletakkan syarat notis sebulan sebelum perhimpunan aman juga lebih teruk berbanding kerajaan Zimbabwe.

“Tapi di Malaysia guna brute force of majority, tanpa debat panjang dan tanpa ambil kira sentimen rakyat,” katanya.

“Tanpa itu sukar bagi kami untuk memberi sokongan,” katanya lagi dalam ucapan ketika membahas rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.

Pakatan Rakyat katanya bertegas menentang dan menolak Rang Undang Undang berkenaan dan menggesa ia diserahkan kepada jawatankuasa terpilih khas parlimen untuk dibincangkan.

Beliau yang menyambut kehadiran ribuan peguam yang berarak ke parlimen hari ini menggesa kerajaan mempertimbangkan gesaan Majlis Peguam supaya RUU itu ditarik balik.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menegaskan perhimpunan aman turut dianjurkan oleh tokoh kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar, yang menyaksikan tanah air bebas dari penjajah.

Beliau juga melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang mencabar majlis peguam menubuhkan parti politik.

Menurutnya, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana majlis peguam adalah badan bebas yang bertindak demi kepentingan rakyat Malaysia, berasaskan undang-undang negara yang dijamin dalam perlembagaan. - kd

Tiada ulasan: