Pengikut

Rabu, 2 November 2011

Kenyataan Khaled Norden tentang Auku tak masuk akal - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR 2 Nov: Kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Norden yang mahu pelajar berfikir secara kritis tetapi tidak membenarkan mereka terlibat dalam politik, disifatkan tidak masuk akal.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad mengulas kenyataan Khaled untuk merujuk kabinet berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengumumkan Akta Universiti dan Kolej (Auku) tidak sejajar dengan perlembagaan.

Dalam kenyataan itu, Khaled dilapor berkata objektif utama pendidikan ialah untuk menggalakkan pelajar berfikir secara konstruktif dan kritis tanpa sebarang sekatan.

Atas sebab itu, kata Khaled, kementerian merasakan tidak wajar membenarkan pelajar menyertai parti politik kerana ia akan menyebabkan mereka terikat kepada idealogi sesebuah parti.

“Kenyataan Khaled sendiri tidak masuk akal. Bagaimanakah tindakan menghalang pelajar menyertai parti politik membolehkan mereka berfikir secara kritis tanpa sebarang sekatan?

“Banyak universiti berprestij dunia tidak mempunyai sekatan tersebut namun kerajaan kita menghantar pelajar-pelajar terbaik negara ke universiti-universiti tersebut,” kata Nik Nazmi.

Kata Nik Nazmi, Khaled sendiri seolah-olah terlupa ada segelintir individu di dalam partinya mempunyai pandangan mengenai Auku seperti Timbalannya sendiri, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Kerajaan tidak patut membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayun ini untuk membenarkan pelajar-pelajar hak yang telah dinafikan sekian lama.

“Akta ini lah yang menyumbang terhadap sekatan pemikiran konstruktif dan kritis yang Khaled nyatakan sebagai matlamat pendidikan,” katanya.

Tiada ulasan: