Pengikut

Sabtu, 19 November 2011

Fitnah: AMK sokong ahli parlimen Jerman

KUALA LUMPUR, 19 Nov: "Kita mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh sekumpulan ahli parlimen Jerman terhadap apa yang berlaku di negara ini terutamanya berhubung dengan perbicaraan kes fitnah 2 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau berkata, kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa seluruh negara di dunia ini memerhati setiap tindak tanduk yang dimainkan oleh pemerintah negara kita terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat mempunyai perancangan teratur setiap kes yang dihadapi oleh Anwar.

"Kita mengetahui dari awal lagi segala apa yang berlaku semuanya sudah diatur dan sekarang negara-negara Eropah juga turut sama meneliti setiap apa yang berlaku. Barisan Nasional di bawah Najib akan cuba sedaya upaya mematikan perjuangan politik yang dibawa oleh Anwar.

"Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen tersebut menunjukkan negara kita ini perlu berubah dan keluar dari lingkungan menghalang proses demokrasi negara yang mana kita lihat Malaysia tidak ubah seperti di negara-negara tengah seperti Mesir mahupun Tunisia yang bertindak menghalang pergerakan Parti Pembangkang jika mereka ingin bersuara," sambungnya lagi.

Shamsul juga berharap jika kerajaan ingin mengembalikan kembali imej negara ini, Najib perlu memastikan segala tuduhan yang dilemparkan kepada Ketua Pembangkang itu digugurkan malah setiap aktiviti Pakatan Rakyat perlu mendapat tempat yang seadilnya seperti mana yang diterima oleh Barisan Nasional.

"Imej negara di mata dunia semakin tercemar sehinggakan negara-negara Eropah yang berpengaruhi berani untuk mempertikaikan sistem demokrasi negara ini.

"Bagi saya kenyataan yang dikeluarkan itu memberi gambaran dan semangat baru kepada setiap perjuang reformasi serta perjuangan Pakatan Rakyat dalam mengembalikan sistem doemokrasi yang adil di negara ini," sambungnya lagi ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum itu, sekumpulan Ahli Parlimen Jerman menyifatkan perbicaraan Fitnah II yang sedang berlangsung sebagai satu cubaan BN untuk menyingkirkan Anwar.

Ia juga menyifatkannya sebagai “proses menyingkirkan seteru politik”, kumpulan itu yang datang daripada Asean Parliamentary Group untuk Parlimen Jerman berkata perbicaraan Fitnah II bertujuan merencatkan momentum reformasi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum.

Kumpulan ahli parlimen itu juga memberitahu perbicaraan Anwar akan selesai dalam bulan Disember.

Ketua Asean Parliamentary Group, Dr thomas Gambke juga memberitahu melalui kenyataannya sewaktu lawatannya ke Malaysia pada awal 2011, keraguan mereka telah terbukti bahawa perbicaraan itu merupakan proses menyingkir seteru politik.

Justeru, mereka menuntut Najib dan pentadbirannya berlaku adil kepada Anwar di samping tidak memanipulasi proses pilihan raya untuk terus berpaut pada tampuk kuasa.

“Kami merayu kepada kerajaan Malaysia untuk menghormati matlamat reformasi demokratik sistem pilihan raya, yang diketuai Anwar Ibrahim.
“Langkah untuk mencegah penipuan pilihan raya perlu diperkenalkan bersama akses lebih meluas untuk media buat parti pembangkang yang kini mentadbir lima negeri di Malaysia.

“Perbicaraan bersifat politik terhadap Anwar akan hanya merosakkan imej antarabangsa Malaysia,” kata mereka dalam kenyataan media.

Tiada ulasan: