Pengikut

Rabu, 21 September 2011

60,000 IC palsu, SPR Perlu jelaskan - AMK

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mendesak Suruhajaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjawab dakwaan berhubung 60,000 warga asing diberi kad pengenalan palsu di Sabah, seperti didedahkan laman web WikiLeaks.

Ketua Penerangan AMK Selangor, Saifullah Zulkifli berkata, dakwaan itu merisaukankan, berat dan boleh memberikan kesan besar kepada keselamatan negara serta masa depan rakyat khususnya penduduk di Sabah.

“Jika benar dakwaan yang dikeluarkan laman sesawang Wikileaks ini, adalah tidak mustahil pihak Umno-Barisan Nasional akan menggunakan lagi kaedah ini bagi mendepani Pilihanraya Umum akan datang.

“Ini secara jelas adalah pengkhianatan kepada Negara dan bercanggah dengan Perlembagaan. Justeru Angkatan Muda Keadilan Selangor mendesak agar Suruhanjaya Pilihanraya membuat penjelasan bagi dakwaan ini,” ujarnya.

Kabel diplomatik Amerika Syarikat yang bocor mendedahkan, bekas pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui pernah mengeluarkan lebih 60,000 kad pengenalan palsu kepada pekerja asing di Sabah sekitar 90-an, atas arahan Umno.

Portal Wikileaks memetik bekas ketua NGO pemantau pilihan raya Mafrel Malek Husin sebagai mendakwa Rashid mengakui perkara itu dalam pertemuan peribadi di rumahnya pada 25 Oktober, 2006.

Dalam kabel yang sulit itu, Malek dilapo memberitahu pegawai Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bahawa Rashid mengesahkan Umno melancarkan kempen ‘kotor’ sekitar 90-an untuk merampas Sabah – yang dikuasai PBS pada 1994.

Sementara itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda Pas menganggap pendedahan WikiLeaks membuktikan penipuan dan penyelewengan kuasa yang dilakukan Umno-BN.

Menurut Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan, berikutan itu, Umno selaku pihak parti yang membentuk kerajaan meneruskan kekuasaan mereka memerintah negara ini secara ‘kotor dan haram’.

“Sepatutnya pihak UMNO/BN selaku Kerajaan yang memerintah negara ini berasa malu dan insaf terhadap tindakan mereka membelakangkan undang-undang negara dan mengkhianati amanah rakyat,” ujarnya.

Justeru katanya, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan tersebut, termasuk menyiasat mantan perdana menteri melalui sebuah jawatankuasa bebas.

Tiada ulasan: