Pengikut

Rabu, 10 Ogos 2011

1.5 juta PATI, bukti kedangkalan dasar ekonomi BN – Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Jumlah 1,548,798 pendatang asing tanpa izin (PATI) didaftarkan di dalam negara sehingga semalam,membuktikan kedangkalan dasar ekonomi Umno-BN, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.


Beliau berkata, jumlah tersebut yang didaftarkan dalam masa yang singkat dijangka mencecah 3 juta orang, tidak termasuk pekerja asing yang berdaftar secara sah.

“Tidak sampai tiga bulan jumlah warga asing PATI dikesan mencecah 1.5 juta menunjukkan anggaran warga asing seramai 2 juta adalah lebih rendah dari jangkaan dan boleh mencecah tiga juta orang,” ujarnya kepada Keadilandaily.com.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 30 peratus peluang pekerjaan diberikan kepada warga asing iaitu seramai kira-kira 10 juta tenaga kerja dalam negara.

Akibat dasar kerajaan yang membuka pintu seluas-luasnya kepada pekerja asing, menyebabkan kadar pengangguran di kalangan warga tempatan kian bertambah.

“Itu sebab ramai rakyat menganggur di dalam negara kerana peluang pekerjaan 3 juta tersebut telah diambil oleh warga asing,” katanya yang juga Pengarah Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Tambahnya, lambakan pendatang asing gagal diatasi dan kini kerajaan tampil dengan sistem pemutihan PATI, kononnya untuk mengatasi dan mengenalpasti  pendatang tanpa izin.

Bagaimanapun katanya, langkah tersebut dicurigai bertujuan untuk melakukan penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jumlah PATI yang meningkat seolah-olah berkait rapat dengan peningkatan jumlah pengundi yang pernah dilaporkan di setiap negeri sebelum ini,” katanya merujuk kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa 200,000 warga Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi.

“Jelas kita lihat terdapat ada kaitan dengan percubaan menyeludup senarai pengundi dengan menggunakan warga asing”
 “Oleh sebab itu, dakwaan tersebut perlulah di siasat dan diberi perhatian penuh,” katanya.

Rafizi tidak menolak kemungkinan syarikat yang terlibat dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang dikendalikan 336 syarikat pengurus, merupakan kroni UMNO.

“Ini lain tidak bukan antara langkah untuk memberi wang kepada kroni UMNO kerana sistem pendaftaran PATI dikendalikan oleh agen-agen tertentu,” katanya.

Tiada ulasan: