Pengikut

Ahad, 31 Julai 2011

Perutusan Ramadhan AMK Permatang Pauh

Perutusan Ramadhan AMK Permatang Pauh
31 Julai 2011

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu.

Segala puji milik ALLAH, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam diucapkan buat junjungan tercinta Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda. Baginda insan agung yang terlalu berjasa buat kita, dengan jasanya dinikmati iman dan Islam.

Ayuh kita mengukuhkan rasa kesyukuran yang sememangnya menjadi kewajipan kita sebagai hamba-hamba ALLAH SWT. Syukur dilaksanakan melalui hati, lisan dan amal atas kurnia-Nya yang sekali lagi mengizinkan kita bersama dengan tetamu agung tahunan ini yakni Ramadhan Al-Mubarak.

Pada tahun ini kita menyambut Ramadhan bersamaan dengan Bulan Kemerdekaan Negara. Justeru, AMK Permatang Pauh mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadhan dan juga menyambut kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia. Semoga kemerdekaan kita ini diberkati oleh Allah sehingga kita merdeka jiwa, merdeka dari penindasan dan merdeka tanah air yang sebenar-benarnya.

Marilah sama-sama kita mengusahakan ikhtiar yang terbaik untuk memenuhi setiap detik dalam madrasah ataupun akademi ruhaniyah tahunan ini dengan segala macam bentuk ‘ibadah, sebagai tanda gembira atas peluang pahala kebajikan berganda-ganda kepada kita. Hadiah yang berupa Ramadhan Al-Mubarak ini ialah satu hadiah terlalu istimewa buat ummat Nabi Muhammad SAW.

Semoga penghayatan Ramadhan sepenuh hati dapat memantapkan rasa kehambaan dan taqwa kepada ALLAH SWT, lantas meningkatkan kualiti kehidupan dalam apa sahaja yang dilaksanakan, selagi mana tidak keluar daripada garisan syar’iat, maka itulah ‘ibadah penghambaan kita kepada ALLAH SWT.
 
Ayuh, majulah ke hadapan. Semoga Ramadhan berjaya mengukuhkan persediaan kita di alam persinggahan yang sementara ini.

Akhir kalam selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan bulan kemerdekaan buat semua rakyat Malaysia dari AMK Permatang Pauh.

Afzal Khan
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan
Permatang Pauh.

Tiada ulasan: