Pengikut

Ahad, 3 Julai 2011

Mansor mahu AMK pertahan 'Pulau Pinang' dari diguling pembangkang

Dato' Mansor Othman mahu sayap muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang berpusat di Komtar, Georgetown dari digulingkan oleh Umno melalui demontrasi jalanan yang agresif lagi ganas.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu menyuarakan hasrat demikian di Kongres Anak Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang 2011 kerana tidak mahu demontrasi ala 'Tentera Merah' seperti Jumaat lalu akan menggugat keharmonian hidup rakyat di samping menjejaskan imej negeri di mata pelabur asing.

"Apabila kita (kerajaan Pulau Pinang) tolong rakyat, beri RM1,000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia, warga emas diberi saguhati RM100 setiap tahun, RM500 kepada anak-anak Pulau Pinang yang berjaya masuk IPTA; (maka) kerajaan kita dituduh zalim.

"Waktu mereka memerintah (kerajaan Pulau Pinang), semua bantuan ini tak pernah diberikan kepada rakyat, itu kerajaan yang adil dan bela Melayu konon-kononnya.

"Kita dituduh zalim, mereka (Umno) cuba nak guling kerajaan kita dengan demontrasi jalanan (tetapi) saya percaya anak muda keadilan (AMK) akan tetap pertahankan kerajaan negeri secara demokratik dari dimusnahkan oleh mereka ini," ujarnya petang tadi di Hotel Pearl View, Chai Leng Park, Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam ucaptama tersebut, Naib Presiden PKR merangkap Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang itu turut mempertahan pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa sebagai "Lim Guan Eng Pemecahbelah Umat Islam".

"Di bawah pentadbiran Lim Guan Eng, RM1.75 juta diperuntukkan untuk memartabatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Ketua Audit Negara puji urus tadbir kerajaan negeri yang integriti dan bersih kerana kita berjaya jimatkan RM77 juta tahun lepas (2010) dan RM88 juta tahun 2009.

"Kalau Lim Guan Eng anti Islam dan pemecah belah umat, beliau takkan akan bantu Sekolah Agama Rakyat. Takkan kerana Lim Guan Eng urus kerajaan negeri secara integriti, (maka) dia dituduh pemecahbelah umat Islam," tegasnya di depan 200 perwakilan AMK negeri.

Beliau yang juga Adun Penanti turut mengutuk pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menahan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) lain di bawah Ordinan Darurat semalam, selepas dibebaskan seketika.

Baginya, tindakan tidak demokratik itu sekaligus seakan menghina Dewan Rakyat serta dianggap sebagai satu lagi titik hitam dalam sejarah demokrasi negara.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali turut menyampaikan pidato di kongres tersebut.

Sebelum pada itu, tiga van Polis mula pantau Kongres AMK Pulau Pinang yang kononnya didakwa cuba menghasut rakyat menyertai perhimpunan aman di ibunegara yang dirancangkan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) pada 9 Julai depan.

Naib Presiden PKR N Surendren, Dato' Abdul Halim Hussain (Speaker DUN Pulau Pinang), Abdul Malik Abu Kasim (Exco Kerajaan Pulau Pinang), Ustaz Yusni Mat Piah (Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang) antara diff kehormati yang menyertai kongres tersebut.

Tiada ulasan: