Pengikut

Rabu, 20 Julai 2011

Anak muda mesti tuntut perubahan - Anwar

KUALA LUMPUR : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masih wujud ruang untuk perlaksanaan reformasi meskipun di bawah sistem  yang menekan dan tidak mempraktikkan demokrasi.

Katanya, generasi baru iaitu golongan muda perlu mempunyai persiapan yang baik dari segala aspek samada pengetahuan dari segi sosial, politik dan asas ekonomi.

“Mereka (anak muda) perlu dibimbing dan untuk terus sedar tentang pentingnya perubahan dalam negara.

“Anak muda perlu tuntut pembaharuan, mesti ada keberanian dan komitmen untuk menghadapi sesuatu,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Bengkel Kepimpinan Anak Muda anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama Yayasan Selangor.

Program itu berlansung dari jam 2 petang sehingga 10 malam bertempat di Menara Yayasan Selangor, semalam.

Bengkel itu dibahagikan kepada tiga sesi iaitu sesi pertama bertajuk ‘To Capture The Imagination Of  New Generation‘, yang dibentangkan Wakil Islamic Renaissance Front, Dr Fuad Rahmat, peguam Fadiah Nadwa Fikri dan Presiden PKPIM, Mohd Faisal Abdul Aziz.

Manakala Anwar memberi ucapan dalam sesi bertajuk ‘A Generation Of Change‘ yang turut dihadiri Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pada sebelah malam pula sesi ketiga bertajuk ‘Islamic Civilization‘ dibentangkan oleh pemimpin gerakan Ikhwanul Muslim dari Kuwait, Dr Tareq Mohammed Al Suwaidan.

Anwar dalam ucapannya mengingatkan kerajaan supaya tidak memandang rendah terhadap kebijaksanaan rakyat kerana  mereka kini semakin matang untuk menilai kebenaran.

Katanya , kerajaan Umno-BN kini semakin terdesak termasuk menggunakan agama bagi mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai contoh kata Anwar,  mimbar jumaat digunakan sebagai pentas untuk memfitnah Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sebagai perhimpunan haram.

“Saya yakin, rakyat tidak bodoh. Kita perlu menyedarkan anak muda untuk membawa perubahan,” katanya.

Tiada ulasan: