Pengikut

Rabu, 29 Jun 2011

PKR tuntut penjelasan Hishammuddin

KUALA LUMPUR – PKR menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga Naib Presiden UMNO, berhubung tindakan sekumpulan 200 ahli Pemuda parti itu berdemonstrasi di pekarangan ibu pejabat PKR di Tropicana Damansara, Petaling Jaya, dekat sini, malam semalam.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, apa membuatkan pihaknya tidak berpuas hati ialah terdapat sebuah balai polis hanya kira-kira 40 meter dari pejabat PKR.

“Namun saya tidak melihat sebarang tindakan dilakukan oleh pihak berkenaan.

“Menteri Dalam Negeri dan PDRM tidak boleh lari daripada memberikan penjelasan berhubung kejadian ini. Apa yang berlaku menunjukkan jurang dalam siasatan polis antara pemimpin PKR dan UMNO,” katanya.

Nurul Izzah mendakwa dalam kejadian itu, ada pemimpin Pemuda UMNO memberi isyarat untuk membakar pejabat PKR.

“Ini tidak masuk akal. Tak kisahlah sokong PKR atau tidak, tapi ini tanggungjawab kita bersama untuk mencegah perbuatan seperti ini. Masa kita lancarkan Bersih, tidak ada satu pun bendera UMNO dibakar dan semuanya dilakukan dengan penuh tata tertib,” katanya di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Isnin lalu, sekumpulan ahli Pemuda UMNO didakwa bertindak berdemonstrasi di pekarangan ibu pejabat PKR itu.

“Mereka bercakap pasal transformasi sepatutnya mereka lebih bersikap profesional dan konsisten,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut tidak setuju Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Hasutan digunakan kerana banyak lagi akta polis boleh digunakan untuk memastikan mereka dikenakan tindakan.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berharap, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menunjukkan komitmen sama dengan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga dalam memastikan perhimpunan 9 Julai ini aman.

“Kita mengalu-alukan kehadiran patriot pada 9 Julai nanti, tetapi saya merayu Ketua Pemuda UMNO memastikan perarakan itu diadakan tanpa keganasan.

“Apa yang berlaku semalam menunjukkan mereka telah merosakkan tradisi berhimpun secara aman yang dilakukan PKR 12 tahun lalu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Tian Chua berkata, PKR tidak menolak hak untuk berdemonstrasi di pejabat mereka, tetapi biarlah dilakukan dengan baik.

Tiada ulasan: