Pengikut

Selasa, 14 Jun 2011

KEADILAN lancar konvensyen pilihan raya 19 Jun

PETALING JAYA: Dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan datang, KEADILAN buat pertama kalinya akan menganjurkan konvensyen khusus untuk pilihan raya, yang pertama seumpamanya dianjurkan parti politik negara ini.


Konvensyen itu akan berlangsung pada 19 Jun ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali, ia diadakan untuk melancarkan kempen dan tema kempen KEADILAN untuk pilihan raya umum akan datang.

“Konvensyen pilihan raya itu julung-julung kalinya diadakan oleh mana-mana parti politik khusus untuk melancarkan kempen dan tema menghadapi pilihan raya umum. Ia bermula jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang.

“Tema kempen KEADILAN untuk PRU ke-13 adalah “Demi Rakyat” dan kita kekalkan logo tangan sebagai simbol untuk rakyat menggunakan tangan mereka membawa perubahan dalam PRU akan datang.

“Tangan besar dan tangan kecil maknanya KEADILAN sebuah parti yang berpotensi di masa hadapan yang mewakili generasi lama dan baru yang akan datang,” kata Azmin ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Kata beliau, konvensyen itu akan menghimpunkan perwakilan seluruh negara bagi meraikan tema dan kempen KEADILAN dalam PRU ke-13.

“Konvensyen kali ini akan menghimpunkan seramai lebih 2000 perwakilan daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang terdiri daripada jentera pilihan raya di semua peringkat negeri, Cabang dan daerah Dun mengundi untuk bersama meraikan tema dan kempen KEADILAN dalam PRU ke-13.

“Kita berharap konvensyen kali ini memberi penekanan kepada penjenamaan kempen  yang lebih kuat sebagai tanda perancangan dan pelaksanaan kempen KEADILAN yang lebih bersedia berbanding dengan parti-parti lawan kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan pelancaran kempen dan logo terbaru bersempena konvensyen tersebut secara online.

“Penjenamaan kepada kempen ini adalah pelancaran kempen secara online yang bertemakan “Demi Rakyat”, orang ramai boleh melayari lawan sesawang www.demirakyat.org yang bermula pada hari ini yang disiapkan oleh Ketua Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad,” ujarnya.

Tiada ulasan: