Pengikut

Khamis, 12 Mei 2011

Terbukti Umno Memang Sanggup Buat Apa Sahaja- Nik Nazmi


KUALA SELANGOR 12 MEI : Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan Umno-Barisan Nasional sememangnya berada dalam keadaan panik dan terdesak untuk merampas kembali Selangor sehingga sanggup bergolak-gadai dan pada masa sama menggunakan apa juga helah keji untuk menggulingkan tunjang utama Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyedari serangan berbaur fitnah yang ditabur semakin hilang "sengat" di kalangan rakyat, Umno-BN dilihat menggunakan cara yang lebih "selamat" seperti yang digunakan di Sabah dan Sarawak untuk kekal berkuasa.

"Fokusnya apa (tuan-tuan), fokusnya liwat, fokusnya video, fokusnya yang terbaru kita dapati mereka memberikan warganegara kepada 2,000 orang luar. Kebanyakannya orang Indon untuk menjadi pengundi di Hulu Selangor bagi menjamin kemenangan Umno dan Barisan Nasional.

"Kalau serah pada Umno tuan-tuan dan puan-puan, negara inipun mereka sanggup gadai, inipun mereka sanggup jual,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Jelajah Selangor Tawan Malaysia di Dewan Datuk Omar, Kampung Bukit Belimbing dekat sini malam tadi.

Menurut Nik Nazmi, perkembangan politik negara mutakhir ini begitu memalukan dan membimbangkan sehingga dunia luar memandang serong terhadap apa yang berlaku dan dipertontonkan oleh media-media kawalan Umno.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Selasa lalu mendedahkan cubaan Umno bahagian Hulu Selangor menambah undi parti berkenaan menjelang pilihan raya umum  dengan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing.

PKR juga sudah membuat laporan polis mengenai hal itu di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang semalam.

Menurut Nik Nazmi lagi, setelah ikhtiar menjatuhkan kredibiliti Anwar yang dilihat sebagai tiang dalam Pakatan Rakyat, pelbagai lagi taktik digunakan Umno-Barisan Nasional untuk menghakis sokongan masyarakat kepada Pakatan.  

“Tuan-tuan dan puan-puan kenapa mereka nak kenakan Anwar Ibrahim? Sudah 13 tahun Anwar Ibrahim diserang dengan pelbagai tohmahan dan fitnah kaki lelaki, kaki perempuan, agen CIA, agen Yahudi, agen China, penggadai Islam, mana satu? Kalau tak kalah James Bond.

“Anwar Ibrahim semua (dia jadi), ada masa pulak dia nak jadi agen macam-macam, jadi biseksual, gila tak gila, Anwar Ibrahim ni diserang bertalu-talu bukan sebab nama dia Anwar Ibrahim, bukan sebab dia pemimpin Keadilan, tetapi sebab dia adalah ancaman terbesar kepada Umno-Barisan Nasional,” katanya.

Tambah Nik Nazmi, tidak cukup dengan itu Umno-BN terus meniup perasaan bimbang di kalangan masyarakat Melayu-Islam apabila melemparkan fitnah kepada DAP menerusi Utusan Malaysia dengan penyiaran berita bahawa agama Kristian akan menggantikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Tegasnya, umum harus memahami bagi mengubah Perlembagaan Negara bukan semudah disangka kerana DAP memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat bagi tujuan itu.

Jelasnya, usaha terbaru itu adalah jelas mahu menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan demi kepentingan politik Umno-BN bagi terus mengekalkan kuasa.

Tiada ulasan: