Pengikut

Jumaat, 29 April 2011

Lebih Banyak Klip Video Seks Memang Ada Kaitan Dengan PRU

KUALA LUMPUR 29 APRIL: Pendedahan bertali arus rakaman video seks lucah di blog pro Umno-Barisan Nasional (BN) dan di laman Youtube yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang, berkait rapat dengan tarikh pilihan raya yang dijangka bakal diumumkan Perdana Menteri Najib Razak tidak lama lagi.

Naib Presiden PKR yang juga anak sulung Ketua Pembangkang, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan itu bermotifkan politik selain cubaan untuk membunuh karier Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Beliau sekali menegaskan bahawa pelaku dalam sedutan rakaman video berkenaan bukan bapanya.

"Saya fikir memang jelas penerbitan satu demi satu bahawa ada perancangan jahat. Saya sudah beri kenyataan semalam bahawa kami sekeluarga berdiri sama dengan PKR yakin itu bukan Datuk Seri Anwar.

"Maka usaha ini akan digunakan Umno-BN untuk memburukkan lagi imej beliau menyerang kami menjelang pilihan raya umum," jelas beliau ketika ditemui Tv Selangor di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang semalam.

Izzah bersama pemimpin PKR lain hadir mengiringi Anwar memberi keterangan kepada polis buat kali kedua semalam berhubung rakaman video seks yang didedahkan trio Datuk T bulan lalu.

Anwar walau bagaimanapun menafikan dirinya sebagai individu yang melakukan hubungan seks bersama seorang wanita berbangsa Cina selain membuat laporan polis terhadap intimidasi jenayah oleh ketiga-tiga individu terbabit di Hotel Carcosa Seri Negara.

Izzah kemudian menyeru agar masyarakat Malaysia menolak politik jijik yang dijulang oleh Umno-BN seraya memberi tumpuan kepada reformasi politik untuk mengangkat manifesto Pakatan Rakyat.

"Pada saya sekarang kita mengajak masyarakat Malaysia untuk menolak politik jahat sebegini dan kita kembali kepada isu asas bahawa Malaysia memerlukan reformasi politik yang menyeluruh untuk menyelamatkan masa depan kita bersama," ujar beliau lagi.

Sebelum itu ketika ditemui media selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi petang semalam, Anwar menjelaskan Umno-BN menggunakan strategi politik lucah untuk mempertahankan kuasa menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Katanya, media pro Umno-BN dijadikan perkakas menyebarkan fitnah tentang beliau bertujuan untuk menghapuskan karier politiknya.

Selain klip video bahagian kedua didedahkan di  blog-blog pro Umno, empat klip video yang kali ini memuatkan adegan seks turut dimuat naik di Youtube sekitar jam 2 hingga 6 petang semalam.

Bagaimanapun, klip video berkenaan telah dikeluarkan kerana melanggar polisi lamanweb tersebut berhubung kandungan berunsur seks.


-tvs

Tiada ulasan: