Pengikut

Rabu, 2 Februari 2011

Krisis Mesir: AMK dakwa Putrajaya lembap bantu pelajar

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat berkata pihaknya kesal dengan kelembapan kerajaan khususnya Wisma Putra dalam memberi respons balas ekoran krisis politik di Mesir yang turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia terutama pelajar.

Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa kerajaan menyegerakan bantuan makanan kepada para pelajar dan mengambil langkah-langkah lain yang sewajarnya.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan membawa pulang pelajar dengan segera melalui penerbangan dibawa oleh Malaysia ataupun secara alternatif menggunakan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau kapal-kapal swasta boleh dimanfaatkan.

“Angkatan Muda yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia seluruhnya tidak mempunyai ruang untuk berkompromi dengan kelembapan tindakan yang berpotensi mengancam nyawa pelajar-pelajar Malaysia di sana,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Gesaan itu sebahagian daripada desakan pelbagai pihak agar Wisma Putra bertindak segera membantu pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.

Seramai 11,319 pelajar Malaysia didaftarkan secara rasmi menuntut di Mesir dalam pelbagai disiplin terutama dalam bidang perubatan dan agama.

Dalam jumlah ini lebih daripada 70 peratus pelajar terlibat dengan kawasan darurat terutama di Kaherah.

“Keadaan makin meruncing apabila Presiden Hosni Mubarak tetap berkeras untuk mengekalkan kuasa diktaktornya, rakyat semakin bangkit dan pihak penjenayah mengambil kesempatan untuk merompak dan membakar bangunan.

“Dalam keadaan yang meruncing ini, adalah mustahil untuk para pelajar mendapatkan bekalan makanan dan kewangan memandangkan kedai semuanya ditutup. Pihak Angkatan Muda telah menghubungi wakil Angkatan Muda di Mesir dan pihak pelajar sendiri, mendapati bahawa keadaan di sana semakin teruk akibat daripada lambatnya bantuan daripada kerajaan Malaysia dan kedutaan,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata, bekalan makanan tidak mencukupi dan tidak menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pulang atau keluar daripada kawasan darurat.

Tiada ulasan: