
SHAH  ALAM 1 JAN : Tahun 2011 seharusnya menjadi fasa pembaikpulihan Malaysia  dengan menolak Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum akan datang, tegas  Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Dalam kenyataan medianya Shamsul berkata  di sebalik perencanaan agenda transformasi yang bermacam-macam jenis  oleh Umno-BN, rakyat seolah-olah tidak merasai kesannya baik secara  langsung ataupun tidak langsung. 
Yang pasti, kenaikan harga minyak,  kenaikan harga barang, kemungkinan kenaikan harga tarif air dan elektrik  nyata sekali akan terus menghimpit kehidupan rakyat yang terus terbeban  dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dari hari ke hari.
"Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK)  meyakini sepenuhnya bahawa cabaran tahun 2011 bukan sesuatu yang mudah  bagi generasi muda Malaysia. Ternyata, melalui propaganda Umno-BN,  rakyat seolah-olah sedang dihipnotis agar melupakan bala yang dilakukan  oleh Umno-BN. Dalam masa yang sama, tawaran KEADILAN dan Pakatan Rakyat  (PR) diperkecil dan dihenyak sepanjang masa oleh media," tegas Shamsul.
Shamsul berkata KEADILAN dan PR  konsisten di dalam menawarkan penyelesaian kepada kemelut politik dan  ekonomi yang membelenggu rakyat Malaysia. Segalanya dihalusi dengan  kajian dan penyelidikan yang terperinci dengan mengambil kira pembaziran  yang dilakukan oleh Umno-BN.
"Memperlihatkan kepada keampuhan  KEADILAN dan PR, Umno-BN tergamak untuk membelakangi prosedur untuk  melakukan pelbagai tekanan ke atas KEADILAN, antaranya ialah  mengharamkan permit Suara Keadilan dan juga menggantung Ketua  Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi Ahli Parlimen PR: YB  Karpal Singh, YB Azmin Ali dan YB Sivarasa Rasiah daripada menghadiri  Sidang Dewan Rakyat selama 6 bulan," katanya.
Shamsul juga menegaskan dalam keadaan  2011 bakal menyaksikan Pilihanraya Umum Ke-13 bakal diadakan dalam suku  tahun kedua, rakyat seharusnya membulatkan tekad menolak Umno-BN.
"AMK percaya bahawa rakyat semakin  bijak. KEADILAN dan PR, dengan kepimpinan yang ada, jelas terbukti  menawarkan sesuatu yang lebih adil, telus dan demokratik," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan