Sehubungan itu, parti komponen PR ini turut melahirkan kesediaan untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dengan Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, pandangan Tengku Adnan itu dianggap skeptikal dan berbeza dengan pendirian Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang menganggap debat tidak boleh dijadikan satu budaya.
“Saya menghormati pendirian Adnan dan saya menganggap itu bukan kenyataan yang saja-saja dibuat.
“Saya harap beliau dapat memulakan usaha ini dengan menemukan dua pemimpin hebat iaitu (Perdana Menteri dan Presiden Umno) Datuk Seri Najib (Tun Razak) dan (Ketua Umum PR) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) untuk berdebat. Saya bersedia berbincang dengannya,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.
Semalam, Tengku Adnan mengeluarkan kenyataan bahawa BN sudah bersedia untuk berdebat dengan pemimpin-pemimpin PR.
Dalam kenyataan itu, beliau menyifatkan perbahasan antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai "sihat".
"Kami terbuka (untuk menyertai) jika terdapat mana-mana (cabaran)," katanya.
Kali terakhir debat membabitkan pemimpin BN dan PR adalah pada Julai 2008 iaitu melibatkan Anwar dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, ketika itu Menteri Penerangan, mengenai isu harga minyak.-Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan