ALOR SETAR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan membekukan akaun NFC seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bukti bahawa pendedahan yang dibuat KEADILAN selama ini adalah benar dan bukan fitnah mahu pun manipulasi fakta.
“Mereka kata fitnah-fitnah akhirnya hari ini beku. Kalau fitnah, beku buat apa?” kata Anwar.
Anwar berkata demikian dalam respons kepada pengumuman Najib hari ini bahawa aset NFC dibekukan buat masa ini.
Najib juga dilaporkan mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar untuk meneliti bagaimana penyelewengan itu boleh diselesaikan.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum ini membuat pendedahan bersiri penyelewengan NFC yang menerima pinjaman RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan tanpa sebarang jadual pembayaran balik.
Rafizi juga bertanggungjawab mendesak agar akaun NFC dibekukan sementara menunggu siasatan ke atas NFC berlangsung.
Anwar selanjutnya berkata kelambatan pentadbiran Najib masuk campur dalam penyelewengan wang oleh National Feedlot Corporation (NFC) adalah bukti jelas Umno tidak boleh diharap menjaga kekayaan negara.
“Umno tidak boleh diharap jaga khazanah negara,” kata Anwar.
Anwar juga berkata tindakan membekukan aset NFC itu tidak akan dibuat Najib jika tiada desakan bertubi-tubi daripada KEADILAN.
“Saudara, bayangkan tanpa suara anak muda Pakatan Rakyat, apakah mungkin akan ada sedikit pun tindakan? Tidak akan berlaku,” kata Anwar. -KD
Tiada ulasan:
Catat Ulasan