Pengikut

Jumaat, 30 Mac 2012

Tidak boleh cabar status Anwar

SHAH ALAM - PKR menyifatkan pesaing politik parti itu tidak ada asas perundangan untuk membawa usul mencabar kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang atas alasan moral, sebaliknya melihat usaha sedemikian hanya satu "sandiwara politik" mahu meneruskan serangan peribadi ke atas beliau.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya tidak melihat adanya apa-apa ruang bagi pihak terbabit boleh membawa usul sedemikian ke Parlimen.

"Dari segi undang-undang, memang tidak ada sebarang peruntukan untuk membawa usul ini, kecuali apa yang didakwa itu ada berkaitan dengan Peraturan Mesyuarat dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen... melainkan di Amerika, kita tahu ada klausa untuk 'impeachment'.

"Memang, Datuk Seri Anwar pernah dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tetapi (dakwaan) yang dikatakan oleh (Senator Datuk K.S.) Nallakruppan dan kawannya bukan berkaitan tindakan menghina Dewan Rakyat atau bercanggah dengan peraturan Parlimen," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Dalam laporan Bernama semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Wan Jaafar dipetik berkata, usul untuk mencabar kelayakan Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang didakwa diselubungi pelbagai isu moral boleh dibawa pada sidang Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk menggugurkan kedudukan seseorang anggota dewan memerlukan satu prosedur tertentu yang mana belum terdapat dalam peraturan dewan ketika ini.

Beliau berkata, sesuatu usul yang yang bersangkutan dengan peribadi seseorang serta berlaku di luar dewan tidak mungkin membolekan individu itu digugurkan jawatan secara automatik kecuali ia berkaitan dengan kesalahan jenayah serta menderhaka kepada raja dan negara yang telah disabitkan salah dan dijatuhkan hukuman.

Bagaimanapun kata beliau, terserah kepada budi bicara speaker untuk menerima atau menolak usul anggota untuk membahaskan perkara sebegitu dalam Dewan.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, anggota Dewan Rakyat berhak membawa usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen terhadap mana-mana anggota dewan termasuk Ketua Pembangkang berhubung perkara tertentu dan khusus.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, "tiada undang-undang khusus. Ini seratus peratus permainan politik mereka."

"Ini hanya sebahagian daripada sandiwara supaya siri serangan mereka terus keluar dalam dada-dada akhbar mereka," katanya lagi sambil berkata, "soal moral bukan perkara untuk dibawa ke Parlimen.

"Kemungkinan mereka boleh bawa, tetapi saya yakin Yang Dipertua pasti akan menolaknya," kata beliau lagi.

Sehubungan itu kata Rafizi, jika Parlimen mahu membincangkan usul-usul sedemikian, "saya fikir sebahagian besar masa akan dihabiskan untuk perkara-perkara seperti itu."

"Kalau kita hendak cakap soal moral, saya fikir ada lagi ramai anggota Dewan Rakyat yang perlu dikenakan usul moral.

"Dan, saya fikir, jika Parlimen terima usul seperti itu, ia akan menyediakan rujukan atau contoh tidak baik... ia akan ada implikasi yang besar, di mana pembangkang akan membawa usul-usul sedemikian kelak.

"Mereka yang bercakap mengenai usul seperti ini tidak fikir dengan mendalam implikasi jangka panjang," kata Rafizi lagi.

-SinarHarian

Tiada ulasan: