Pengikut

Khamis, 10 November 2011

Fidlot: Sasaran lembu kurang tapi dana RM250 juta kekal?

KUALA LUMPUR 9 Nov: KEADILAN mempersoalkan kenapa sasaran lembu dalam Projek Fidlot Kebangsaan dikurangkan, tetapi dana yang diperuntukkan sebanyak RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFC) kekal.

Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution hairan mengapa pinjaman mudah itu tidak disemak semula oleh kerajaan.

“Kenapa ‘soft loan’ tidak disemak semula? Kenapa masih kekal RM250 juta? Kenapa tidak dikurangkan?,” kata Saifuddin pada sidang media di parlimen hari ini.

Menurutnya, jika sasaran itu dikurangkan dari 60,000 ekor lembu kepada 8,000 ekor, maka pinjaman mudah itu sepatutnya hanya RM75,000.

Saifuddin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika di dewan rakyat semalam tidak menjawab soalan dibangkitkan.

Katanya, isu sebenar iaitu sejumlah besar wang rakyat telah diberikan kepada keluarga Menteri Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Menurutnya, pinjaman RM250 juta disalurkan ke dalam akaun khas pinjaman (special Loan) berbentuk amanah (escrow account), namun secara lazimnya, satu akaun amanah dipegang pihak ketiga (third party) yang menguruskan bagi kedua belah pihak.

“Kebiasaannya escrow account dipegang oleh bank atau peguam yang menerima arahan dari pemberi pinjaman sebelum menyalurkan pada peminjam.

“Tapi dalam kes pinjaman NFC, KEADILAN telah membuktikan bahawa pinjaman RM130 juta (bayaran pertama) dan RM120 (bayaran kedua) telah masuk ke dalam akaun milik NFC,” kata beliau.

Tambahnya, akaun NFC di Maybank dan Public Bank itu juga bukan di atas nama pihak ketiga tetapi di atas nama NFC sendiri.

“Kenyataan Menteri Pertanian bahawa wang selebihnya masih berada dalam escrow account yang dikawal kementerian menjerat beliau sendiri,” kata Saifuddin.

Jelasnya, berdasarkan rekod kewangan NFC, pelbagai perbelanjaan melampau dan pindahan wang dibuat sepanjang tahun 2008 dan 2009.

“Dan termasuklah pindaan wang berjumlah RM119 juta pada 31 Disember 2009, pindahan wang kepada syarikat milik Shahrizat sehingga mencecah RM83 juta pada 31 Disember 2009, perbelanjaan luar negara dan keraian RM828,000 2009 dan subsidi kepada restoran Meatworks RM3 juta pada 2009,”katanya.

Tiada ulasan: