Pengikut

Selasa, 23 Ogos 2011

Kami ada bukti, tak gentar disaman KDN - Zuraida

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri tidak boleh menyaman pihak yang mengkritiknya, khususnya  isu pendatang tanpa izin (PATI) yang diberikan skrip bersumpah oleh Umno-BN.


Zuraida memberikan reaksi berikutan kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam untuk menyaman beliau kerana  membuat kenyataan terbuka mengenai isu keselamatan negara.

“Sebab itu dia (Mahmood) perlu baca dan fahami semula peranannya sebagai kaki tangan kerajaan. Rakan peguam saya memaklumkan, tindakan saman yang dicadang dibuat Ketua Setiausaha KDN itu tidak tepat sebagai pegawai kerajaan.

“Tapi sekiranya tindakan masih hendak diambil, kita bersedia. Dakwaan dibuat bukannya tuduhan tanpa asas. Kami ada bukti yang akan didedahkan pada masa yang sesuai,” kata Zuraida yang turut menegaskan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Zuraida sebelum ini tampil mendedahkan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin(7P) yang memaksa warga asing mengisi borang sumpah untuk menyokong Umno-BN bagi tujuan pemutihan.
Menurut Zuraida, sebagai institusi kerajaan, KDN sepatutnya menyiasat dakwaan tersebut.

“Ini perkara yang perlu dijawab. Bukannya ugut untuk menyaman,” kata Zuraida pada sidang media  di ibu pejabat Keadilan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada wujud jaminan kepada ribuan ejen pemutihan di seluruh negara tidak melakukan perbuatan sumpah paksa tersebut.

“Semua orang tahu, kebanyakan ejen-ejen pemutihan 6P adalah ahli Umno. Apakah kriteria dan syarat minima untuk menjadi ejen? Bagaimana mereka dilantik?

“Apakah jaminan mereka tidak menyalahgunakan program Pemutihan 6P atas kepentingan politik mereka? Perkara ini yang perlu dijawab Menteri Dalam Negeri,” kata Rafizi.

Tiada ulasan: