
Konvensyen Pilihan Raya KEADILAN yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) semalam berlangsung dalam keadaan penuh meriah dan dinamik, sekaligus memenuhi aspirasi dan citarasa politik baru.

Ia diadakan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang yang dijangka bakal diadakan pada bila-bila masa.
Konvensyen ini juga, yang pada kebiasaannya dianjur parti politik di negara-negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat, berlangsung dalam keadaan penuh warna warni- dipersembahkan dengan gaya yang lebih moden, santai dan dinamik.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi berkata, ia mendapat sambutan di luar dugaan apabila jumlah peserta melebihi anggaran awal iaitu sekitar 2,800 orang. Sebanyak 3,500 T Shirt percuma yang diberikan kepada peserta, habis dalam masa beberapa jam.

Menariknya, Pentas berbentuk T direka bagi memudahkan pemidato berucap dan berinteraksi bersama hadirin di atas pentas. Malah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN tidak menggunakan rostrum ketika berucap.
Konsep yang dibawakan dalam konvensyen khas ini ternyata lari dari tema kebiasaan.
Konvensyen tersebut yang bermula jam 2.30 petang, dimulakan dengan ucapan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Seterusnya, Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

Konvensyen berkenaan kemudiaan diteruskan dengan amanat Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyeru seluruh jentera pilihan raya KEADILAN supaya diperkemaskan.
Kemuncak konvensyen adalah ucaptama yang disampaikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain mengulangi politik dan taktik kotor dijalankan Umno-BN untuk terus kekal berkuasa.
Selain ucapan pimpinan utama, konvensyen khas ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian yang disampaikan pimpinan KEADILAN bagi memeriahkan suasana.

Selain pimpinan utama, KEADILAN menampilkan wakil-wakil dari kaum orang asli semenanjung dan Sabah dan Sarawak yang mengulas mengenai rampasan tanah adat di negeri berkenaan.
Konvensyen berkenaan berakhir pada jam 5 petang dengan pelancaran video dan logo.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan