Pengikut

Khamis, 23 Jun 2011

Bersih: AMK seru rakyat berbaju kuning lebih awal

Kuala Lumpur : Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru orang ramai agar memakai pakaian berwarna kuning pada Sabtu 25 Jun dan 4 Julai ini.


Katanya, ia sebagai persiapan awal bagi membangkitkan momentum dan semangat seluruh rakyat yang akan menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

“Sama-sama kita bangkitkan semangat rakyat dan menyahut seruan bersih 2.0 dengan pemakaian baju kuning. Kita tidak gentar dan terus bangun walaupun telah menerima pelbagai halangan dari pihak tertentu,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Menurut Samsul, ia pernah dilakukan menjelang perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 di mana rata-rata rakyat Malaysia memakai baju kuning beberapa minggu sebelum himpunan besar itu dianjurkan.

“Jadi dengan itu, kali ini kita perlu (sekali lagi) menaikkan semangat untuk membangkitkan momentum rakyat di seluruh negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, AMK mengerahkan 5,000 ribu hingga 10,000 anggotanya di seluruh negara untuk turut serta dalam menjayakan himpunan berkenaan.

Beliau berkeyakinan penuh bahawa himpunan bagi menuntut lapan perkara berhubung reformasi pilihan raya itu akan mendapat sokongan 200,000 peserta dari seluruh negara.

Katanya, pelbagai promosi telah dilancarkan termasuk melalui Khidmat pesanan ringkas (SMS), risalah, e-mel dan pengunaan media baru menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

AMK katanya, akan menggiatkan promosi Bersih pada Program Jelajah Selangor Tawan Putrajaya yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang pada 25 Jun, Sabtu ini.

Tiada ulasan: