KUALA LUMPUR: Setiausaha KEADILAN Cabang Jelutong, Anuar Kamarudin berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Barisan Nasional, terutamanya dari pemimpin Umno diibaratkan seperti ‘aksi singa sarkas’ yang hanya beraksi apabila diarahkan tuannya.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Azeez Rahim seperti yang dilaporkan akhbar Sinar Harian versi Nasional semalam, bahawa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Azwar Ibrahim disifatkan sebagai tertekan hingga mengeluarkan kata kesat terhadap Presiden Umno, Najib Razak.
“Nasihat saya kepada Azeez, jangan sampai diibaratkan sebagai singa jika taring sekadar singa sarkas. Singa sarkas akan hanya beraksi bila adanya persembahan. Singa sarkas sudah diajar dan dididik untuk beraksi menghiburkan penonton.
“Singa jenis ini sudah dijinakkan dengan jawatan dan kontrak dan hanya akan beraksi apabila diarahkan tuannya. Dia akan terkejut dari tidur dan bertindak apabila kelaparan jawatan dan kontrak.
“Saya tertarik untuk menyingkap kembali sejarah perfileman yang diarahkan oleh Tan Sri P Ramlee dalam filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ yang di dalam dialognya menyebut ‘Alif Miim Nun Wau….(Umno)…..di sebut……Sarkis…,” kata Anuar sinis.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar kenyataan calon yang tewas pada pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh, Aminah Abdullah yang menasihatkan Datin Seri Dr Wan Azizah supaya meninggalkan Anwar Ibrahim.
“Dia sudah tidak relevan lagi dalam landskap politik negara kerana tidak ada isu yang jelas yang di perjuangkannya. Jika dia seorang yang berilmu sudah pasti dia tidak akan memberi nasihat yang sedemikian rupa, yang boleh menggoncang ‘Arasy’.
“Jika benar Aminah seorang pejuang Melayu Islam, desak dan perjuangkan supaya kes fitnah liwat dan video seks itu di bawa ke Mahkamah Syariah. Jangan gadaikan maruah diri dan prinsip perjuangan hanya kerana imbuhan yang sedikit.
“Biar rakyat terutama orang Melayu yang mengaku Islam menilai akhlak dan pekerti Aminah yang kononnya memberikan nasihat yang bodoh, jahil yang ternyata jelas tidak menuruti kaedah dan ajaran Islam itu sendiri.
Justeru, Anuar menyeru kepada seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat untuk melawan politik fitnah, jijik dan perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Bermula dari saat ini, sudah tiba masanya untuk kita untuk meneruskan gerak kerja memberikan penerangan kepada rakyat,” tegas Anuar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan