Pengikut

Jumaat, 11 Februari 2011

Hari Valentine: AMK dakwa wujud hipokrasi Umno

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Angkatan Muda Keadilan mendakwa wujud unsur-unsur hipokrasi yang “jelas dan nyata” di pihak Umno-BN khususnya dalam kontroversi kempen penguatkuasaan Hari Valentine, yang didakwa hendak dibawa Pemuda PAS, untuk memerangkap minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan.


Sehubungan itu, ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar) berkata, perbincangan dan musyawarah di kalangan pergerakan Pemuda Pakatan perlu diadakan bagi memperoleh persefahaman dan dasar pendirian yang boleh dikongsi bersama tanpa menafikan beberapa hal berbeza dari segi pendekatan.

“Dalam hal ini pihak Angkatan Muda Keadilan yakin bahawa permuafakatan Pakatan Rakyat membincangkan hal-hal termasuk isu sensitif membuktikan kesediaan Pakatan Rakyat menerima perbezaan dan memberikan dasar yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, Hari Valentine sekali lagi mendapat perhatian semua pihak terutama kepada pendirian Pakatan Rakyat.

Katanya, ia menjadi perhatian kerana melibatkan isu pengawasan moral.

“Angkatan Muda Keadilan melihat wujud unsur-unsur hipokrasi yang jelas dan nyata di peringkat Umno-BN khususnya dalam soal ini, yang jelas kelihatan mahu memerangkap dan memasung minda rakyat agar lari daripada fokus sebenar yang sewajarnya diberikan secara tepat mengenai isu ini,” kata beliau lagi.

Shamsul Iskandar juga berkata Angkatan Muda Keadilan percaya bahawa pendekatan dakwah secara mendidik adalah merupakan penyelesaian manusiawi yang lebih mampan dan jangka masa panjang.

“Pendekatan mendidik yang dibawa Pakatan Rakyat akan membetulkan imej negatif yang dicanang oleh Umno-BN,” kata beliau.

Katanya, menjangkau 54 tahun Malaysia di bawah kepimpinan Umno, Islam dilihat rigid dan sentiasa dalam keadaan terancam, dan dalam masa yang sama dimensi penyelesaian hanya dihadkan kepada kepompong yang sempit.

“Menyedari hakikat inilah, pendekatan yang lebih hikmah sewajarnya diambil oleh Pemuda Pakatan demi memastikan penyelesaian yang konstruktif dapat diambil ke arah mencari jalan penyelesaian yang wajar,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan menjelang tengah hari tadi.

Tiada ulasan: